Tips Pengurusan Kewangan

Assalamualaikum W.B.T

Entry kali ni nak share dengan korang semua tentang Tips pengurusan kewangan dalam rumahtangga..



Suami isteri berahsia tentang kewangan masing-masing. Bagi isteri, suami tidak boleh tahu tentang simpanannya. Manakala suami pula menyorok kerana takut isteri minta. Sihatkah amalan ini dan apakah yang patut dilakukan untuk memperbaiki keadaan?

Diakui, pada masa ini, ramai di kalangan pasangan suami isteri sangat berahsia tentang wang yang mereka ada. Seboleh-bolehnya tidak mahu pasangan tahu berapa banyak wang yang ada dalam simpanan. Rahsia. Maknanya, mind your own bussiness. Duit saya, duit saya, duit awak, duit awak. Tidak boleh bercampur. Tapi, benarkah kenyataan seperti ini diguna pakai sekarang? Persoalan ini timbul kerana yang biasa kita dengar, duit saya, duit saya, duit awak, duit saya. Tapi, siapakah yang berkata seperti itu? Suami atau isteri? Kalau isteri, tidak ada masalah dia berkata demikian kerana dia sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh suami. Tapi, kalau kata-kata itu keluar dari mulut suami, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin suami tersebut terlupa tanggung jawab sebenar seorang suami.


Dalam agama Islam, pemberian nafkah kepada isteri hukumnya wajib sejak berlakunya akad nikah. Hal ini tetap kekal walaupun isteri kaya. Tapi, suami wajib memberi nafkah kepada isteri berdasarkan kemampuan masing-masing dan tidaklah sehingga membebankan.

Diakui, sekarang ini ramai isteri keluar bekerja. Jika ditanya, rata-rata memberitahu bahawa mereka ingin membantu suami dan menjana ekonomi rumah tangga. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang serba moden ini, semuanya perlukan duit. Kesanggupan para isteri keluar bekerja mencari pendapatan tambahan untuk rumah tangga patut dipuji. Tapi, mereka perlulah mendapat kebenaran suami terlebih dahulu

Namun, disebabkan wanita keluar bekerja sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita, ramai di kalangan suami terlupa untuk memberikan nafkah kepada isteri. Alasan mereka, isteri sudah ada duit sendiri. Jadi, tidak perlulah diberikan lagi kepada mereka. Bagi isteri yang rela dan reda tidak diberikan nafkah wang ringgit, tidak ada masalah. Memang niat mereka ingin membantu meringankan beban kewangan suami.

Yang menjadi masalah sekarang ialah apabila suami buat-buat lupa memberikan nafkah kepada isteri dan menyerahkan bulat-bulat urusan kewangan rumah tangga kepada isteri yang kemudiannya kena diurus sendiri oleh isteri dengan duit sendiri. Duit suami, hanyalah untuk dia sendiri. Kepada suami-suami seperti ini, sedarlah bahawa, suami langsung tidak berhak ke atas wang pendapatan isteri melainkan dengan persetujuan isteri. Sebaliknya, anda patut bersyukur kerana isteri sanggup berkorban masa dan tenaga mereka demi untuk kesejahteraan keluarga.

Kepada para isteri yang dibenarkan keluar bekerja, janganlah pentingkan diri sendiri. Benar, suami tidak boleh mengambil duit anda tanpa kebenaran walaupun sesen. Tapi, sedar kah anda
bahawa tanpa kebenarannya, anda langsung tidak boleh bekerja. Lagipun, hampir semua suami yang mengizinkan isterinya bekerja adalah dengan satu niat iaitu untuk membolehkan isteri membantu menambah pendapatan keluarga.

Jadi, sangatlah patut jika anda para isteri sama-sama menyumbang wang gaji yang dapat ke dalam dana keluarga agar keluarga dapat hidup sebaiknya. Tapi, sumbangan anda tidaklah sehingga menyerahkan semua wang gaji yang dapat. Letakkan had tertentu agar anda juga dapat menggunakan wang yang diperoleh itu untuk diri sendiri dan membantu keluarga di kampung.

Pada dasarnya, perkahwinan adalah perkongsian hidup antara dua insan iaitu lelaki dan perempuan. Kedua-dua mereka mestilah bersedia untuk berkongsi apa jua hal termasuklah tanggung jawab, peranan, tugas harian dan pendapatan. Nilai kesefahaman dan kerjasama inilah yang penting untuk membina rumah tangga yang aman dan tenteram.

5 Panduan Mantapkan Kewangan Keluarga

1. Tetapkan sehari dalam sebulan sebagai hari perbincangan kewangan
Gunakanlah masa ini untuk berbincang tentang perkaraperkara yang melibatkan wang ringgit anda berdua. Kemas kini simpan kira anda berdua. Buat bedah siasat terhadap akaun kewangan anda berdua pada bulan lepas. Semak kelemahan dan  kebaikan. Inilah masanya untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya ada masalah kewangan. Begitu jugalah jika anda berdua ingin membeli sesuatu benda, fikirkan dahulu kepentingan barangan tersebut kepada anda dan keluarga.

2. Berkongsilah 3 maklumat kewangan anda dengan pasangan
Yang dimaksudkan dengan 3 maklumat kewangan ialah tentang maklumat kad kredit, perbelanjaan dan simpanan. Pastikan anda saling memberitahu tentang keluar masuk wang anda berdua. Apa yang anda beli, berapa yang anda simpan dan berapa kali kah anda gunakan kad kredit untuk membeli? Semua ini penting agar anda berdua boleh saling ingat mengingati antara satu sama lain agar tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya. Lagipun, mencegah lebih baik
daripada mengubati. Mengelakkan daripada membeli lebih baik daripada terpaksa membayar hutang setiap bulan.

3. Tetapkan matlamat kewangan anda
Ajak pasangan menetapkan matlamat kewangan anda berdua. Misalnya, dalam tempoh setahun, berapa jumlah simpanan yang perlu ada dalam akaun anda berdua. Begitu jugalah dengan perancangan untuk menghadapi hari-hari selepas pencen kelak. Menjelang umur 60 tahun, berapa tabungan yang anda berdua inginkan? Dengan perancangan seperti ini, anda berdua akan lebih peka terhadap setiap sen yang dibelanjakan dan tidaklah terlalu mudah mengeluarkan duit untuk perkara-perkara yang boleh dikategorikan sebagai kemahuan.

4. Beritahu pasangan tentang apa sahaja kebimbangan anda berkaitan kewangan
Inilah yang sebaiknya. Jika risau, berkongsilah kerisauan itu dengan pasangan anda. Hal ini penting bagi mengelakkan anda menanggung kerisauan seorang diri. Lagipun, inilah yang dikatakan perkongsian hidup. Berkongsi susah dan senang. Kalau anda ada masalah, dia bantu dan kalau dia ada masalah, anda bantu.

5. Berbincang tentang perancangan pembelian masa hadapan 
Sekiranya, anda berdua berhasrat untuk membeli sesuatu barangan, berbincanglah dahulu dengan pasangan. Misalnya, anda ingin membeli alat penghawa dingin untuk ruang tamu kediaman pada bulan depan. Tanya diri sendiri dan pendapat pasangan tentang keperluan barangan tersebut kepada keluarga anda. Selain memikirkan keperluannya, fikirkan juga tentang bagaimana anda ingin membayarnya. Dari manakah sumber kewangannya? Adakah anda mampu untuk memilikinya. Adakah perbelanjaan lain yang mungkin meningkat akibat penggunaan barangan tersebut. Jika semua ini anda kaji sebelum mengambil keputusan untuk membeli sesuatu barangan, pasti akaun kewangan anda tidak akan negatif.


No comments:

Post a Comment